KUALA LUMPUR 12 Julai - Nik Dee Nik Mat, 66, mampu menarik nafas lega dengan bantuan kewangan dan teknikal daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (risda) untuk membantu pekebun kecil getah sepertinya di Manek Urai.
Melalui projek tanaman semula, beliau kini menanam semula kebun getahnya seluas 2.4 hektar di Kampung Lata Pauh, Chuchoh Puteri, dengan tidak terbeban seperti sebelumnya.
“Masa harga getah naik dulu, pakcik pakai kuli. Lepas tu harga turun, susah. Lani (sekarang ni) dah stabil dalam RM2.60 sekilogram.
Oklah, mujur dengan bantuan tanaman semula dari RISDA boleh buat balik kebun,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Chuchoh Puteri.
Nik Dee adalah antara 3,400 pekebun kecil di Manek Urai yang mendapat manfaat daripada projek tanaman semula RISDA.
Melalui projek itu, mana-mana pekebun yang memiliki kebun getah yang tiada nilai ekonomi akan dibantu melalui projek tanaman semula bagi menanam pokok getah yang lebih berkualiti.
Setiap pekebun akan diberikan peruntukan RM7,000 sehektar bagi bantuan bahan seperti baja, benih dan racun, selain bantuan kewangan dan kepakaran.
“Kita nak pekebun capai sasaran budaya tanaman 4 1/2 tahun getah. Maknanya, kalau sebelum ini tanam dan dapat hasil ikut suka, sekarang kita nak dapatkan hasil dalam tempoh empat setengah tahun,” kata Pegawai RISDA Kuala Krai, Ismail Yaman, 45.
RISDA memperuntukan RM73.4 juta setahun kepada Kelantan melalui pelbagai program untuk memperkasakan pekebun-pekebun kecil antaranya program tanaman semula, penebangan dan projek ransangan dan pembinaan prasarana.
Misalnya melalui program tanaman semula, sebanyak RM3 juta diperuntukkan di Manek Urai melibatkan 300 hektar kawasan kebun getah yang kurang berdaya ekonomi.
Bagi Pengerusi RISDA Tan Sri Rahim Thamby Chik, program tanaman semula adalah bantuan berterusan kerajaan untuk mengeluarkan pekebun kecil daripada kepompong kemiskinan.
“Ini kerana kita sedar membasmi kemiskinan itu juga tuntutan agama,” katanya ketika bertemu dengan 50 peserta kursus formal teknikal di Chuchoh Puteri di sini baru-baru ini.
“Dulu bantuan sehektar kira-kira RM1,000 sebelum dinaikkan kepada RM7,000 sehektar. Bantuan ini diberi secara berperingkat,” kata Timbalan Pengarah RISDA Kelantan Zahari Mat Amin.
Zahari berkata apa yang penting program tanaman semula itu juga usaha RISDA untuk meningkatkan hasil pengeluaran getah daripada 1,000 kg getah setiap hektar kepada sasaran 2,000 kg getah sehektar dalam setahun.
Katanya, sasaran itu adalah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) meningkatkan taraf pekebun kecil negeri ini.
Namun seperti mana kata anak Nik Dee, Nik Abdul Aziz, 24, beliau gembira kerana bantuan RISDA yang memfokuskan kepada pekebun kecil dan miskin tegar itu “tidak mengira fahaman politik”.
“Kalau nok (nak) harap ko (pada) tulang empat kerat kito gak (kita sahaja), nak cari duit beribu-ribu nak tebang pokok-pokok tu pun kito tok mampu,” kata Nik Abdul Aziz yang menoreh getah selepas tamat persekolahan beberapa tahun lepas. - Bernama
RSS feed for comments on this post · TrackBack URI
Leave a reply