KUALA KRAI, 29 Jun (Bernama) - Risda berhasrat melahirkan usahawan di kalangan penduduk yang tinggal di kawasan tanah rancangannya agar dapat mengubah kehidupan masa depan mereka sekaligus melonjakkan pembangunan ekonomi negara.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata seramai 3,240 masyarakat Risda di jajahan Kuala Krai perlu merebut peluang itu dengan mengadakan aktiviti yang boleh meningkatkan pendapatan mereka bagi menjana ekonomi negara.

“Melalui Risda, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyediakan peruntukan RM600,000 di kawasan Kuala Krai dan peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM2.1 juta untuk seluruh negeri Kelantan yang mesti dihabiskan tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika melancarkan kerja gotong royong membersih kawasan bersama warga Risda di Kampung Manjur, Manik Urai, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan matlamat Risda untuk mendaulatkan kedudukan bumiputera di tanah air selain membasmi kemiskinan.

“Saya mahu mereka menjadi orang yang bersyukur, kerana mungkin jika tidak kerana jasa Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Razak Hussein, Risda tidak akan wujud dan rakyat tidak akan mendapat manfaatnya.

Rahim berkata kerajaan telah melaksanakan langkah menghapuskan kemiskinan tegar dan kini sedang meneruskan usaha membasmi kemiskinan biasa tetapi masih ada pihak tertentu yang suka menabur fitnah dengan memberikan gambaran buruk mengenai usaha kerajaan pusat melaksanakan pelbagi program pembangunan demi faedah rakyat.

– BERNAMA