SEPERTI yang kita sedia maklum, selain lonjakan harga minyak mentah dunia, kegawatan ekonomi ketika ini juga berpunca daripada keruntuhan institusi perbankan antarabangsa.Ia disebabkan keghairahan institusi perbankan meluluskan pinjaman tidak berkredibiliti yang mencetus kepada kesan subprima. Keruntuhan institusi perbankan itu menjejaskan perniagaan terutamanya di kalangan industri kecil dan sederhana (IKS) yang menjadi nadi utama kepada penjanaan ekonomi di kebanyakan negara. Kelembapan ekonomi turut dirasai di Malaysia lebih-lebih lagi di kalangan syarikat yang berinteraksi secara langsung dengan pasaran ekonomi di Amerika Syarikat (AS).

Kerana itu juga proses liberalisasi kewangan dan perbankan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini dilihat sebagai langkah drastik dalam mengukuhkan semula struktur ekonomi negara.Ia bukan sahaja memberi kapasiti kepada kerajaan untuk memantau dan memandu ekonomi negara dengan lebih baik.

Sebaliknya, kerajaan juga mempunyai asas yang kukuh untuk memastikan prestasi sektor perbankan dan ekonomi itu dapat dipertahankan pada tahap yang munasabah. Lebih utama, proses liberalisasi itu juga memberi keyakinan kepada kerancakan ekonomi semasa selain bertindak sebagai rancangan pengukuhan yang panjang.

‘Liberalisasi itu juga merupakan perancangan yang teliti serta membuka strategi untuk melihat apakah masa depan perbankan kita,” demikian reaksi Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dalam pandangan mengenai proses liberalisasi kewangan itu.

Menurut Abdul Rahim, liberalisasi kewangan mampu mewujudkan fleksibiliti kepada ekonomi negara menerusi galakan penyertaan institusi perbankan asing untuk mengambil bahagian dalam proses perbankan negara. Dengan adanya teras itu, ia bukan sahaja memberi keyakinan kepada operator perbankan dalam negara, malah turut menjadi daya penarik kepada institusi perbankan luar menawarkan perkhidmatan mereka. Antaranya dengan memberi peluang kepada perbankan luar negara membuka lebih banyak cawangan serta mempermudahkan pinjaman bersaiz mikro.

Bantuan modal itu merupakan satu keperluan kepada pengusaha IKS untuk kekal bersaing di pasaran dalam kelembapan ekonomi ketika ini. Pengukuhan sektor kewangan dengan penglibatan institusi perbankan itu secara tidak langsung mengangkat kedudukan dan prestasi masyarakat ekonomi negara termasuk di kalangan orang Melayu dan Bumiputera.

”Ini merupakan asas, dan saya lihat proses liberalisasi merupakan satu strategi untuk membantu masyarakat ekonomi negara terutamanya golongan Melayu dan Bumiputera dengan membetulkan asas ini,” ujar Abdul Rahim.

Bagaimanapun dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini, tumpuan tidak wajar diberikan kepada pengukuhan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera semata-mata.Sebaliknya konsep ekonomi baru itu perlu dibuat menerusi penyusunan semula masyarakat berasaskan kek ekonomi negara yang berkembang.Dalam kek ekonomi negara, apa yang telah dikuasai oleh orang Melayu dan bukan Melayu adalah sesuatu yang jelas. Kerana itu juga kita perlu kembali kepada falsafah yang dimulakan oleh Tun Abdul Razak supaya dalam penyusunan masyarakat itu orang Melayu turut mempunyai akses kepada pertumbuhan ekonomi yang besar.

Pendedahan itu perlu untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang kerana setiap kaum ketika ini sudah memegang hak masing-masing.Negara pernah mengecapi pertumbuhan ekonomi sehingga 12 peratus bermaksud kita pernah mempunyai asas perdagangan yang kukuh.

Justeru menurut Abdul Rahim, dalam keadaan kemungkinan pertumbuhan ekonomi yang mungkin menjadi negatif ketika ini, fundamental ekonomi itu perlu diperbetulkan.Ia boleh dicapai dengan hakikat bahawa peredaran wang dalam pasaran mampu mewujudkan kegiatan ekonomi yang lebih baik.Dengan itu, negara bukan sahaja dapat bertahan daripada serangan ekonomi dunia, tetapi turut berkemampuan mengembangkan ekonomi domestik.

”Saya melihat sekiranya ia terlaksana, kita dapat melihat satu arah perjalanan ekonomi yang jelas.Dalam masa yang sama penyusunan semula masyarakat itu dapat dicapai sekiranya pengendalian fundamental ekonomi seperti yang dimahukan kerajaan itu diberikan keutamaan,” katanya.

Bagaimanapun dalam menyambut baik proses liberalisasi kewangan itu, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.Antaranya adakah masyarakat ekonomi terutamanya Bumiputera mampu bersaing dalam pasaran terbuka?

Menjawab persoalan itu Abdul Rahim berkata, proses liberalisasi tidak dinafikan memberi cabaran yang besar kepada masyarakat ekonomi terutamanya mereka yang terjejas ekoran kegawatan ketika ini.

Kerana itu juga beliau berharap, kerajaan dalam melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dan proses liberalisasi itu memberikan tumpuan kepada aspek ketelusan dan akauntabiliti.Mengambil contoh dalam pemberian projek katanya, perlu ada pengenalpastian dan peruntukan yang jelas untuk Bumiputera di samping tender terbuka.Kerajaan juga perlu memastikan kerenah dalam pemberian tender seperti rundingan atau pemberian ‘anugerah secara langsung’ dapat dihapuskan.Perkara itu jika terus diamalkan akan memburukkan lagi situasi ekonomi kerana dibimbangi akan memberi keuntungan kepada syarikat yang tidak berkredibiliti.

Pemberian tender secara telus dan akauntabiliti itu juga dapat mengurangkan tuduhan rasuah, korupsi dan kronisme terhadap kerajaan.Kerana itu juga Gabem ujar Abdul Rahim, sedia bekerjasama dengan kerajaan dalam mengenal pasti syarikat yang berkelayakan serta peruntukan yang boleh ditentukan kepada syarikat Bumiputera.

”Kaedah ini sekiranya dilaksanakan dapat membudayakan amalan perniagaan berasaskan merit seterusnya meningkatkan kredibiliti syarikat Bumiputera itu sendiri,” katanya.

Bagaimanapun perlu diakui, negara memerlukan tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun untuk melihat impak positif daripada proses liberalisasi kewangan itu.Tempoh itu terlalu lama bagi syarikat yang terjejas dengan kegawatan ekonomi untuk kembali bersaing di pasaran.Kerana itu juga sebagai rangsangan segera, Abdul Rahim berharap suntikan bernilai RM67 bilion seperti yang diumumkan menerusi pakej rangsangan ekonomi dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Perkara itu bukanlah mustahil sekiranya kerajaan mempunyai kapasiti dan jentera yang cekap termasuk tidak berlakunya ketirisan dalam pelaksanaan projek.Keupayaan di peringkat pelaksana juga perlu dipantau dengan baik termasuk mengambil kira kepakaran anak tempatan bagi mengelak pengaliran wang ke luar negara.Kerajaan juga ujar beliau perlu memastikan suntikan pakej rangsangan ekonomi itu mampu menggerakkan peredaran wang dalam sistem ekonomi dan mencetuskan kesan penggandaan yang besar.

Sumber : Utusan Online , 30 April 2009 , Oleh: Mohd Khuzairi Ismail