TAIPING 19 Mac — Lembaga Disiplin Umno telah membuktikan kredibilitinya dengan mengetepikan faktor “kehebatan dan populariti” seseorang itu dalam membuat keputusan terhadap 15 anggota Umno termasuk Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam kerana kesalahan berhubung amalan politik wang, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Beliau berkata ahli lembaga itu telah menunjukkan disiplin yang tinggi apabila membuat keputusan berdasarkan semata-mata kepada fakta dan maklumat yang diterimanya.
“Saya tidak fikir ada unsur sabotaj dan kambing korban dalam tindakan Lembaga Disiplin Umno terhadap Datuk Seri Mohd Ali Rustam,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan segelintir anggota Umno mempersoalkan kredibiliti lembaga itu.
Rahim yang juga Pengerusi Risda berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan dan dividen Tanam Semula Komersial kepada 184 peserta dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang di Trong dekat sini hari ini.
Dua hari lepas, Mohd Ali, yang juga Naib Presiden Umno, dikenakan hukuman larangan bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti minggu depan, setelah lembaga itu mendapati beliau bersalah berhubung politik wang.
Rahim berkata berkata tindakan yang diambil oleh lembaga berkenaan adalah usaha serius Umno menangani amalan politik wang.
“Ini masalah dalaman yang diatasi dengan cara dan kaedah Umno,” katanya. — Bernama
RSS feed for comments on this post · TrackBack URI
Leave a reply