TAIPING 19 Mac – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan membina lebih banyak rumah untuk rakyat miskin di negara ini menerusi peruntukan pakej rangsangan ekonomi kedua.

Pengerusinya, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, dalam masa sama, pihaknya juga akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan ekonomi golongan itu melalui pelbagai program pertanian sampingan.

‘‘Untuk pakej rangsangan ekonomi kedua ini, kita belum tahu berapa peruntukan yang akan diterima tetapi kita akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini dengan lebih baik lagi.

‘‘Semua projek yang akan dikenal pasti perlu disiapkan sebelum bulan Jun supaya ekonomi dapat dirangsang dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan dan dividen tanam semula komersial (TSK) kepada 71 pekebun kecil Parlimen Bukit Gantang di Trong, dekat sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan RISDA, Datuk Ali Nordin Wahiduddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Trong, Rosli Husin.

Setakat Disember tahun lalu, RISDA Plantation telah membuat bayaran dividen TSK sejumlah RM118,995,000 dengan di Perak sahaja, membabitkan jumlah hampir RM20 juta.

Mengulas lanjut katanya, RISDA menerima peruntukan sebanyak RM140 juta untuk melaksanakan 4,000 buah rumah di bawah program bantuan rumah dan RM40 juta untuk melaksanakan projek prasarana seperti jalan pertanian, parit, pembetung dan jambatan pada pakej rangsangan awal.

Terdahulu dalam ucapannya, kata Rahim, sejajar dengan perkembangan sistem teknologi maklumat terkini, pihaknya telah mengorak langkah memperkenalkan permohonan sistem e-Tanam Semula menerusi Internet.