KUALA LUMPUR 23 Jun - Koperasi-koperasi pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) digesa lebih agresif mendapatkan peluang perniagaan di luar agensi itu.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ia perlu dilakukan secara lebih profesional dengan kepakaran yang ada.
“Koperasi juga tidak harus hanya mengamalkan budaya ’sub-kontrak’ bagi menjana keuntungan, sebaliknya harus terlibat secara langsung dalam pemasaran dan pemprosesan produk agar mereka lebih berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian mesyuarat agung Koperasi Pekebun Kecil Getah Nasional Bhd. (Narsco) Ke-25 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Menterinya, Datuk Hasan Malek.
Narsco adalah koperasi induk di bawah RISDA yang dianggotai 64 koperasi kecil peringkat daerah, negeri dan Pusat.
Mohd. Shafie berkata, walaupun telah 25 tahun ia diwujudkan, matlamatnya masih belum tercapai.
“Ada sebilangan koperasi di bawah Narsco hanya tertumpu kepada memberi kontrak am sahaja dan tidak terlibat dalam pemprosesan. Masih banyak sumber di luar RISDA yang berpotensi untuk dieksploitasi oleh semua koperasi,” katanya.
Katanya lagi, bidang koperasi kini merupakan antara agenda penting kerajaan bagi menjana kekuatan ekonomi rakyat.
Tambah beliau, apa yang diharapkan koperasi dan ahli-ahli bersedia mengubah minda dan sikap untuk melangkah jauh terutama mencari bidang baru yang boleh memberi pulangan lebih baik tanpa melupakan prinsip dan objektif asas gerakan koperasi.
Beliau berkata, semua anggota lembaga di dalam koperasi juga digesa bersikap lebih proaktif, inovatif dan dinamik dalam mempelbagaikan kegiatan perniagaan koperasi pada masa depan.
RSS feed for comments on this post · TrackBack URI
Leave a reply