Sumber : Utusan Online
KANGAR 24 Mei - Peniaga Melayu digesa mempraktikkan budaya tolong menolong dalam menjalankan perniagaan seperti yang diamalkan oleh peniaga Cina bagi memastikan kejayaan mereka dapat diteruskan.
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, budaya itu merupakan satu perkongsian bijak untuk membolehkan peniaga Melayu berkongsi keuntungan secara berpanjangan.
Katanya, budaya sedemikian sebenarnya sudah menjadi amalan tradisi para peniaga Cina di negara ini sehingga mereka dapat menikmati kejayaan berganda.
“Peniaga Melayu wajar mencontohi kaum Tiong Hua di Malaysia. Mereka masih dengan tradisi membantu sesama sendiri dalam perniagaan.
“Apabila mendapati rakannya mengalami kejatuhan dalam perniagaan, mereka sama-sama membantu termasuk memberi bantuan modal sehingga rakannya tadi kembali cemerlang dalam perniagaan,” jelasnya.
Beliau mengutarakan perkara itu menerusi ucaptamanya dalam Program Memperkasa Ekonomi Bangsa Siri 01/09 anjuran Gabem yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu di Hotel Putra Palace di sini malam tadi.Sehubungan itu, Rahim mengajak peniaga Melayu sama ada peniaga kecil, sederhana mahupun yang sudah berstatus korporat supaya berganding bahu untuk memperbesarkan lagi saiz ekonomi Melayu di negara ini.
Katanya, saiz ekonomi Melayu di Malaysia wajar diperbesarkan lagi untuk menjamin pribumi masyarakat Melayu tidak hanya memiliki kekuatan politik sahaja di tanah air sendiri.
Bagi mencapai hasrat tersebut katanya, penyatuan Melayu mesti diutamakan dalam segenap lapangan tanpa mengira fahaman politik.Sehubungan itu, Rahim mengajak masyarakat Melayu supaya tidak berpecah belah terutama ketika ada pihak yang mahu memperalatkan Melayu untuk kepentingan masing-masing.
“Kita tidak mahu Melayu berpecah belah. Ini bagi memastikan kita terus memiliki kuasa di tanah air ini dan kuasa ekonomi di Malaysia.
“Kita juga jangan ‘diperkudakan’ oleh pihak lain yang memperalatkan Melayu untuk mencapai kepentingan puak mereka sendiri,” tegasnya.
Bekas Ketua Menteri Melaka itu juga berharap, usaha Gabem untuk melonjakkan kecemerlangan ekonomi Melayu akan mendapat sokongan semua pihak terutama daripada orang Melayu sendiri.
Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN / utusanperlis@utusan.com.my
RSS feed for comments on this post · TrackBack URI
Leave a reply