KUALA LUMPUR 10 Julai 2007 – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) meminta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bertindak segera membantu peniaga Melayu di Suria KLCC yang dikatakan berdepan dengan pelbagai tekanan dan kemungkinan gulung tikar.

Presiden Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, pihaknya mendapat tahu perkara itu kini dalam pemerhatian kementerian berkenaan.

Justeru katanya, pihak kementerian perlu bertindak segera termasuk kemungkinan mengadakan rundingan dengan pengurusan Suria KLCC.

‘‘Bagi Gabem, tindakan pengurusan Suria KLCC yang dikatakan menekan peniaga Melayu sehingga kemungkinan mereka gulung tikar, tidak boleh diterima,’’ katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau diminta mengulas isu peniaga Melayu di Suria KLCC yang dikatakan berdepan tekanan daripada pihak pengurusan, termasuk kadar sewa yang terlalu tinggi.

Isu tersebut turut mendapat perhatian pembaca yang menyuarakan pandangan mereka dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia hari ini, dengan rata-rata meminta peniaga Melayu terus diberi peluang berniaga di premis tersebut.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, pihak pengurusan Suria KLCC tidak sepatutnya mendiskriminasikan peniaga Melayu dan mereka perlu lebih bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau meminta peniaga Melayu terbabit menyerahkan memorandum kepada pihaknya dengan memberikan justifikasi tepat tentang masalah yang mereka hadapi.

‘‘Memorandum itu bagi membolehkan Gabem mendapat gambaran sebenar tentang masalah mereka sebelum boleh mengajukannya kepada pucuk pimpinan negara,’’ katanya.

Katanya, Gabem tidak boleh bertindak tanpa justifikasi yang jelas atau kemungkinan masalah terbabit hanya membabitkan sebilangan kecil peniaga.

‘‘Sebab itu kita hendak mereka menghantar memorandum dengan menyatakan justifikasi kenapa mereka tidak berpuas hati dan sebagainya.

‘‘Jika ada 50 peniaga dan hanya lima bermasalah, kita perlu mendapat gambaran sebenar. Kita juga perlu adil kepada pihak pengurusan,’’ katanya.